Isnin, 14 Februari 2022 | 6:04pm
Warga Myanmar ditahan di laluan haram berhampiran FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam. - Foto ATM
Warga Myanmar ditahan di laluan haram berhampiran FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam. - Foto ATM

Warga Myanmar cuba bolos sempadan

KUALA LUMPUR: Petugas Operasi Benteng (Op Benteng) menahan 20 warga asing yang cuba menyusup masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand berhampiran FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam.

Tangkapan dilakukan oleh pasukan Briged Keenam Infantri Malaysia ketika rondaan di laluan haram berhampiran pada jam 3.45 pagi semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan, hari ini berkata, pasukan ronda ternampak sekumpulan orang cuba melintasi pagar sempadan Malaysia-Thailand.

"Pasukan ronda menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas setiap individu terbabit.

"Mereka tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.

Menurut kenyataan itu, tangkapan terdiri daripada 17 lelaki dan tiga wanita, berusia lingkungan 15 hingga 55 tahun.

"Siasatan awal mendapati mereka warga Myanmar.

Ekoran tangkapan itu, laporan dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan PATI diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Berita Harian X