Isnin, 14 Februari 2022 | 4:20pm

Lelaki didakwa bunuh bapa tiri

ALOR SETAR: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh bapa tirinya di sebuah rumah di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus, Jitra, awal bulan lalu.

Tertuduh, Zulfadhli Zakaria, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh bapa tirinya, Mohd Muzni Mohd Noor, 65, di hadapan sebuah rumah di Kampung Kota Mengkuang pada jam 10.15 pagi, 1 Februari lalu.

Tertuduh bertindak menghayun tangan kanan yang memegang kunci motosikal lalu menusuk ke bahagian kening kiri mangsa sehingga mengakibatkan mangsa rebah.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Juraidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000, namun gagal membayar jaminan berkenaan menyebabkan dia ditahan sehingga hari perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 13 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Penganggur, Zulfadhli Zakaria, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan membunuh bapa tirinya di sebuah rumah di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus, Jitra pada 1 Februari lalu. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Penganggur, Zulfadhli Zakaria, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan membunuh bapa tirinya di sebuah rumah di Kampung Kota Mengkuang, Wang Tepus, Jitra pada 1 Februari lalu. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X