Isnin, 14 Februari 2022 | 2:38pm

Bekas kakitangan AADK mengaku salah terima rasuah

ALOR SETAR: Hidup porak peranda, rumah tangga hancur, hilang kerja selain ditimpa kemalangan dan terpaksa bertongkat.

Itu antara alasan dalam rayuan bekas kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda, Erwan Yahya, 46, melalui peguamnya ketika diberi peluang merayu selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan menerima suapan RM3,000 pada 2016 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Peguam, Alias Ibrahim, berkata anak guamnya itu sudah insaf dan berjanji mahu membina hidup baharu.

"Sejak kejadian berkenaan, hidupnya porak peranda, rumah tangga hancur, hilang pekerjaan serta turut menghidap penyakit kencing manis selain tidak lagi mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bekerja sendiri. Anak guam saya juga mengalami kemalangan jalan raya pada 8 Februari lalu sehingga cedera rusuk serta lutut kanannya.

"Anak guam saya kini terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan percaya semua kejadian itu adalah balasan tuhan kerana melakukan dosa sebelum ini," kataya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh ketika melakukan kesalahan itu masih penjawat awam, selain mahu ia dijadikan pengajaran kepada orang lain.

Erwan mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan pertama, ketika bertugas sebagai Pembantu Antidadah, menerima RM3,000 daripada seorang individu sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki yang didapati positif syabu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam kereta POTON Iswara ketika melalui deretan kedai di Bandar Puteri Jaya, jam 5.30 petang, 7 Disember 2016.

Dia juga mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan kedua, bersama bekas Penolong Pegawai AADK Kuala Muda, Norzarenawati Osman, 38, dengan niat bersama, bersetuju menerima suapan RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki positif dadah di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya, jam 3 petang tarikh sama.

Erwan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Harmi Thamri kemudian menjatuhkan hukuman denda terbabit terhadap Erwan dan penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda benda berkenaan. Tertuduh menjelaskan bayaran denda di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Erwan Yahya, 46, di Mahkamah Seksyen Alor Setar, hari ini. -NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Erwan Yahya, 46, di Mahkamah Seksyen Alor Setar, hari ini. -NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X