Isnin, 14 Februari 2022 | 2:15pm

Peniaga gerai acu pisau didenda RM2,500

MANJUNG: Peniaga gerai makan yang membuat ugutan sambil mengacukan pisau kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 25 Januari lalu, dijatuhi hukuman denda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, di sini, hari ini.

Tang Keng Su, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengadakan ugutan bencana kepada Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Amin Aminuddin, 32, dengan mengacukan sebilah pisau.

Perbuatan itu dilakukan bagi maksud hendak mendorong penjawat awam itu supaya melakukan apa-apa perbuatan atau jangan melakukan atau melengahkan melakukan apa-apa perbuatan berhubung dengan perjalanan kerjanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan gerai di Looking Good Hawker Centre Kampung Koh, Sitiawan pada 9.30 malam, 25 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nurjihan Jaya manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuan, tertuduh meminta hukuman denda dikurangkan kerana dia mempunyai penyakit jantung dan kencing manis selain perniagaannya juga terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Selain itu, dia juga penanggung tunggal dalam keluarga menyara seorang isteri dan tiga anak yang masih bersekolah serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Nurjihan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang boleh memberikan pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

A Hafiizh kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM2,500 terhadap Keng Su dengan mengambil kira tertuduh tiada rekod kesalahan lampau serta turut menasihatinya supaya tidak mengulangi kesalahan itu lagi.

Mahkamah turut memerintahkan Keng Su dipenjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Peniaga gerai makan yang membuat ugutan sambil mengacukan pisau kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 25 Januari lalu, dikenakan hukuman denda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Manjung. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Peniaga gerai makan yang membuat ugutan sambil mengacukan pisau kepada pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 25 Januari lalu, dikenakan hukuman denda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Manjung. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X