Isnin, 14 Februari 2022 | 12:21pm
Mohd Farit Mohd Noor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, di atas pertuduhan merogol kekasih bawah umur pada September 2015 - Foto NSTP/Hidayatidayu Razali.
Mohd Farit Mohd Noor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, di atas pertuduhan merogol kekasih bawah umur pada September 2015 - Foto NSTP/Hidayatidayu Razali.

Pembantu klinik haiwan didakwa rogol bekas kekasih

KOTA BHARU: Seorang pembantu klinik haiwan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol bekas kekasihnya pada September 2015.

Tertuduh, Mohd Farit Mohd Noor, 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja perempuan ketika kejadian berusia 16 tahun 11 bulan di sebuah rumah kosong bertempat di Bukit Marak, dekat Bachok, jam 2 petang, pada September 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, lelaki itu tidak boleh mengganggu mangsa dan keluarganya.

Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap dua minggu serta memohon tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengurangkan jaminan terhadapnya.

Mahkamah kemudian membenarkan dia diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X