Ahad, 13 Februari 2022 | 4:19pm

Polis buru lelaki disyaki suspek bunuh wanita Somalia

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Somalia ditemui mati dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai di Jalan Memanda 2, Ampang, hari ini selepas dilihat bertengkar dengan seorang lelaki disyaki suspek utama kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 12.12 tengah hari.

Beliau berkata, pada masa ini pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, sedang mengesan suspek yang disyaki terbabit kejadian itu.

"Pada masa ini pihak kami sedang mendapatkan maklumat dari saksi terutama orang awam yang melihat kejadian berkenaan. Maklumat awal kita terima berkemungkinan kes ragut namun hasil siasatan di tempat kejadian berdasarkan saksi awam mendakwa ia mungkin berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan suspek," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Terdahulu wanita terbabit dilihat bertengkar dengan seorang lelaki sebelum dilihat ditikam dengan objek tajam di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai.

Mohamad Farouk berkata, berdasarkan maklumat awal daripada Pembantu Pegawai Perubatan (MA) Hospital Ampang, berlaku kejadian ragut di lokasi dan memerlukan bantuan polis di lokasi kejadian.

"Ketika pihak polis sampai, anggota kami mendapati mangsa seorang wanita warga asing terbaring dalam keadaan mengiring dan disahkan meninggal dunia oleh MA terbabit," katanya.

Beliau meminta saksi kejadian ini untuk menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.

Wanita warga Somalia ditemui maut dipercayai dibunuh di Ampang. FOTO NSTP/SAFEEK AFFENDY RAZALI
Wanita warga Somalia ditemui maut dipercayai dibunuh di Ampang. FOTO NSTP/SAFEEK AFFENDY RAZALI
Berita Harian X