Sabtu, 12 Februari 2022 | 8:37am
Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya merempuh sebuah lori di KM312.2 PLUS arah utara, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya merempuh sebuah lori di KM312.2 PLUS arah utara, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Lelaki maut kenderaan pacuan empat roda rempuh lori

TAPAH: Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya merempuh sebuah lori di Kilometer (KM) 312.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 11.00 malam, Shaik Shafiq Shaik Abdul Halim, 31, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata insiden berkenaan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan lori muatan roti.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lori dipandu lelaki berumur 53 tahun itu sedang dalam perjalanan menuju ke utara.

"Setiba di tempat kejadian, lori muatan roti itu dilanggar di bahagian belakang oleh kenderaan pacuan empat roda dipandu mangsa yang sedang menuju ke arah sama.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang beralamat di Perai, Pulau Pinang, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan media.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori terbabit dilaporkan tiada mengalami kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tapah, dan proses bedah siasat dijadualkan hari ini selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X