Jumaat, 11 Februari 2022 | 5:41pm
Anggota bomba membawa keluar mayat lelaki warga Nepal yang maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar kayu di sebuah kilang di Jalan Lengkok Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba membawa keluar mayat lelaki warga Nepal yang maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar kayu di sebuah kilang di Jalan Lengkok Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Maut terjatuh ke dalam mesin pengisar kayu

NILAI: Seorang lelaki warga Nepal maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam mesin pengisar kayu di sebuah kilang di Jalan Lengkok Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dikenali Haque Shekh Amirul, 40, terjatuh dan tersepit di dalam mesin berkenaan ketika cuba mengeluarkan serpihan kayu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata mangsa yang cedera parah di seluruh anggota badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima panggilan jam 9.25 pagi memaklumkan terdapat kemalangan ketika mengendalikan mesin di sebuah kilang di Jalan Lengkok Emas.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Nilai dan ambulans Klinik Kesihatan Nilai kemudian dihubungi dan dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 9 pagi ketika mangsa sedang mengeluarkan serpihan kayu yang tersekat pada mesin pengisar kayu itu.

"Mangsa terjatuh ke dalam mesin itu dan cedera parah. Mayatnya kemudian dikeluarkan anggota bomba dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X