Jumaat, 11 Februari 2022 | 3:29pm
ANTARA pengunjung pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur yang diperiksa pihak polis dalam serbuan bermula 4 Februari lalu hingga semalam. - Foto PDRM
ANTARA pengunjung pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur yang diperiksa pihak polis dalam serbuan bermula 4 Februari lalu hingga semalam. - Foto PDRM

Kompaun RM145,000 pengunjung, pemilik pusat hiburan di KL

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM145,000 terhadap pengunjung dan pemilik enam pusat hiburan di ibu negara, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam operasi tujuh hari berakhir semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata serbuan dilakukan pihaknya membawa kepada tindakan kompaun RM1,000 kepada setiap 139 pengunjung dan enam pemilik premis pusat hiburan.

"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 2021 dengan melakukan aktiviti terlarang dalam pub serta kelab malam.

"Dari 1 Januari lalu hingga semalam, kita mengeluarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM280,000 ke atas pemilik premis dan pengunjung pusat hiburan di Kuala Lumpur yang gagal mematuhi SOP PPN mengikut Akta 342 APPPB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan COVID-19 dalam masyarakat.

"Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan mengawal penularan pandemik demi kesejahteraan bersama," katanya.

Berita Harian X