Jumaat, 11 Februari 2022 | 12:12pm
Sebahagian daripada 120 bungkusan yang mengandungi daun ketum seberat 1.2 tan bernilai RM216,000 yang dirampas Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah. - Foto Maritim Malaysia
Sebahagian daripada 120 bungkusan yang mengandungi daun ketum seberat 1.2 tan bernilai RM216,000 yang dirampas Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah. - Foto Maritim Malaysia

Gagal seludup 1.2 tan daun ketum

ALOR SETAR: Tindakan mencurigakan sebuah bot nelayan tempatan kelas A di muara Kuala Kedah pagi semalam, membongkar penemuan 1.2 tan daun ketum oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah.

Terdahulu, bot yang dipercayai cuba menyeludup daun ketum ke negara jiran dipecut laju oleh individu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum bertindak terjun ke dalam paya bakau dan berjaya meloloskan diri dalam kejadian 6 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya berjaya mengesan kedudukan bot itu pada 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan berada berhampiran muara Kuala Kedah.

"Sejurus menerima maklumat, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan.

"Namun sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan sekitar 1.2 tan bernilai sekitar RM216,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, semua daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

Ini berikutan, beliau berkata, permintaan tinggi di sana disebabkan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM30 saja.

"Semua daun ketum termasuk bot nelayan tempatan kelas A termasuk enjin yang dianggarkan bernilai RM276,000 dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan.

Noor Azreyanti berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara semenanjung Malaysia.

"Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Berita Harian X