Khamis, 10 Februari 2022 | 4:34pm
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib bersama pegawainya menunjukkan antara warga asing yang ditahan pada Selasa lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib bersama pegawainya menunjukkan antara warga asing yang ditahan pada Selasa lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Seludup PATI guna bas persiaran, tonto cuba langgar anggota PGA

PASIR MAS: Seorang lelaki disyaki 'tonto' bertindak agresif dengan cuba melanggar anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) yang cuba menahannya di Baroh Pial, kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Ekoran tindakan itu, anggota PGA9 terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang kenderaan jenis BMW yang dipandu lelaki itu bagi menghentikan kenderaan berkenaan dalam kejadian Selasa lalu itu.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib, berkata kereta berkenaan kemudian ditemukan terbabas, namun lelaki itu tidak dapat diberkas apabila hilang selepas melarikan diri ke dalam semak.

Sebelum itu, katanya, anggotanya yang menerima maklumat mengenai sebuah bas persiaran yang diiringi rapat sebuah kereta BMW disyaki tonto berdekatan Kampung Pohon Tanjong, di sini yang dilihat mencurigakan, mengekori kedua-dua kenderaan itu, namun kedua-duanya kemudian memecut laju.

"Kita berjaya menahan bas persiaran terbabit di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah selepas mengejar sejauh 30 kilometer. Pemandu BMW itu turut memberhentikan kenderaan, namun apabila cuba diperiksa, dia memecut dan cuba melanggar anggota PGA9.

"Pihak kami terpaksa melepaskan tembakan pada bahagian tayar bagi memberhentikan kereta terbabit, namun dia terus memecut laju," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib bersama pegawainya menunjukkan antara warga asing yang ditahan pada Selasa lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib bersama pegawainya menunjukkan antara warga asing yang ditahan pada Selasa lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib menunjukkan antara warga Myanmar yang ditahan pada Selasa lalu. - Foto RTM
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib menunjukkan antara warga Myanmar yang ditahan pada Selasa lalu. - Foto RTM

Mannadzar berkata, susulan pemeriksaan ke atas bas persiaran itu, pihaknya menemukan 20 warga Myanmar berusia 15 hingga 30-an, termasuk seorang wanita, dipercayai pendatang haram dan turut menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an disyaki anggota kumpulan penyeludupan migran yang bertindak sebagai pemandu bas.

"Kami percaya sindiket ini menyewa bas persiaran berkenaan untuk membawa pendatang haram Myanmar ke Kuala Lumpur. Kesemua pendatang Myanmar ini juga dipercayai masuk ke negara ini menggunakan laluan haram sekitar Kampung Pohon Tanjong di sini.

"Taktik menggunakan bas persiaran ini adalah modus operandi terbaru sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Kes juga akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh anggota," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X