Khamis, 10 Februari 2022 | 1:05pm
Sindiket penyeludupan membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan bas persiaran, gagal apabila dicekup pihak berkuasa tengah malam kelmarin.- Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Sindiket penyeludupan membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan bas persiaran, gagal apabila dicekup pihak berkuasa tengah malam kelmarin.- Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Sewa bas persiaran seludup 20 PATI

RANTAU PANJANG: Taktik licik sindiket penyeludupan membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan bas persiaran, gagal apabila dicekup pihak berkuasa tengah malam kelmarin.

Semua PATI berusia 15 hingga 30 tahun ditahan jam 12.30 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas mengejar bas terbabit sejauh 30 kilometer (km).

Turut ditahan dua individu warga tempatan berusia 30-an termasuk pemandu bas dipercayai tekong.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Mannadzar Nasib, berkata pihaknya mengesan sebuah bas persiaran dan kereta jenis BMW yang disyaki tonto di Pohon Tanjung, disini.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bas dan kereta terbabit memecut laju dan cuba melanggar anggotanya.

"Sebaik tiba di Jalan Baroh Pial menghala Tanah Merah, kereta BMW berhenti dan apabila anggota keluar untuk pemeriksaan, pemandu kereta terbabit cuba melanggar polis menyebabkan kita terpaksa melepaskan dua das tembakan.

"Namun, pemandu kereta terbabit terus memecut laju dan terbabas sebelum melarikan diri manakala bas yang dinaiki PATI berjaya dipintas di hadapan sebuah pasar raya di Tanah Merah.

"Hasil pemeriksaan dalam bas persiaran berkenaan mendapati terdapat 20 warga Myanmar termasuk seorang wanita. Turut ditahan dua individu berusia 30-an iaitu pemandu bas lelaki dan seorang wanita dipercayai tekong," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mannadzar berkata, sindiket berkenaan dikatakan menyewa khas bas berkenaan untuk membawa PATI terbabit ke Kuala Lumpur.

"Kita mendapati mereka masuk ke Malaysia menggunakan pengkalan haram di Pohon Tanjung sebelum menaiki bas menuju ke Kuala Lumpur.

"Taktik licik sindiket berkenaan menggunakan bas persiaran dari pengkalan haram adalah modus operandi baharu bagi mengaburi pihak berkuasa berbanding sebelum ini kebanyakan mereka menggunakan kenderaan biasa.

"Kesemua PATI berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala tekong terbabit disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007," katanya.

Beliau berkata, bas yang dirampas diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X