Rabu, 9 Februari 2022 | 5:28pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Operator kilang maut dihempap kotak berisi kaca

JASIN: Seorang operator kilang maut selepas dihempap kotak berisi kaca seberat lebih 5.5 tan di sebuah kilang, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Umar Mohd Shahid, 23, dikatakan sedang menjalankan kerja menyusun dan mengikat kotak berkenaan di dalam kontena.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pasukan bomba mengenai insiden itu kira-kira jam 8.10 pagi.

"Berdasarkan hasil siasatan, mangsa dipercayai terlanggar kayu penahan ketika melakukan kerja mengikat kotak yang berisi kaca di dalam kontena, menyebabkan dia dihempap kotak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Jasin, untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Penolong Penguasa Bomba Rahizam Ruzali, berkata 12 anggota serta pegawai bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

"Difahamkan ketika kejadian, mangsa berada di dalam kontena terbabit bersama pemandu forklift, sebelum dihempap kotak berisi kaca.

"Pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengalihkan kaca di lokasi kejadian. Ia dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih teruk," katanya.

Selepas kaca terbabit berjaya dialihkan, beliau berkata, mangsa ditemui sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X