Rabu, 9 Februari 2022 | 3:30pm

Pegawai PKD didakwa menipu

MELAKA: Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan bekas kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin, hari ini, masing-masing didakwa atas tiga pertuduhan pilihan menipu dan bersubahat memperaku pembayaran pembekalan peralatan tidak wujud.

Muhammad Nurhafizi Samat, 34, dan Mohd Zamry Yazid, 47, mengaku mengaku bersalah untuk semua tuduhan menipu dan bersubahat memperaku pembayaran, bagi Unit Kawalan Mutu Air bernilai RM9,536, empat tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman RM15,000 kepada setiap tertuduh.

Beliau menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan pertama; pertuduhan kedua, denda RM5,000 atau tiga bulan penjara dan pertuduhan ketiga, denda RM7,000 atau lima bulan penjara bagi kedua-dua tertuduh.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan pilihan, Muhammad Nurhafizi yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didakwa menipu hingga mendorong kakitangan PKD Jasin, Mohd Ali Mansor untuk memperaku pembayaran kepada Perniagaan Pella Maju Enterprise, walhal pembekalan tidak dilaksanakan.

Mohd Zamry yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Unit Primer PKD Jasin pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi untuk memperaku bayaran perbekalan tidak wujud itu.

Perbuatan itu dilakukan di PKD Jasin pada 5 November dan 9 November 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes Muhammad Nurhafizi bertugas di Unit Kawalan Mutu Air dan dipertanggungjawab menyediakan borang Nota Minta bagi permohonan pembelian bekalan.

Tertuduh kedua pula ditugaskan menjadi Peraku II untuk pembayaran bagi mana-mana perbekalan barang di bawah nilai RM19,999.

Hasil penipuan itu tertuduh pertama dan kedua masing-masing mendapat wang tunai RM8,536 dan RM1,000.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat yang dibantu Syakila Yaacob berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan dilakukan serius, iaitu menipu untuk mendapatkan dana awam bagi kegunaan peribadi.

Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu supaya anak guamnya, Muhammad Nurhafizi yang menghidap penyakit buah pinggang hanya dikenakan denda ringan dan tidak dipenjara.

Katanya, tertuduh sudah berkahwin dan menanggung dua anak kecil berusia lima dan tiga bulan, serta ibu bapa yang uzur dan ibu mentua.

Peguam Mohd Zulfiqri Zakaria yang mewakili Mohd Zamry juga merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh sudah insaf dan pengakuan bersalahnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Tertuduh, Muhammad Nurhafizi Samat diiringi pegawai SPRM di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. - Foto ihsan SPRM
Tertuduh, Muhammad Nurhafizi Samat diiringi pegawai SPRM di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. - Foto ihsan SPRM
Berita Harian X