Selasa, 8 Februari 2022 | 9:34pm

Isu MARA: SPRM tak terima aduan salah laku Suhaili

PUTRAJAYA: Tiada aduan yang diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku membabitkan Pengarah Eksekutif Mara Corporation (MARA Corp), Datuk Suhaili Abdul Rahman mengenai penggunaan kad kredit korporat syarikat itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya hanya akan bertindak jika ada laporan dibuat.

"Kena seseorang buat laporan kepada kita. Setakat ini, kita tidak terima laporan apa-apa lagi.

"Kalau ada pihak buat laporan kepada polis, terpulang. (Itu) saya tak tahu. Fokus saya pada hari ini ialah (dakwaan) salah guna kuasa (oleh lima pegawai kanan MARA) iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan elaun yang tidak sepatutnya dapat," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal melaporkan seorang daripada lima pegawai MARA berkenaan membuat laporan mendakwa Suhaili menggunakan kad kredit MARA Corp untuk tujuan peribadi, namun ia dinafikan Suhaili.

Suhaili ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pengerusi BERSATU Bahagian Labuan.

Berita Harian X