Selasa, 8 Februari 2022 | 7:40pm
Bot Maritim Malaysia melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dekat Kuala Kedah, hari ini. - Foto MARITIM MALAYSIA
Bot Maritim Malaysia melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dekat Kuala Kedah, hari ini. - Foto MARITIM MALAYSIA

Nelayan dikhuatiri lemas

ALOR SETAR: Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut kerana bot dipukul ombak kuat, dekat Kuala Kedah, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi CARILAMAT dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 sejurus menerima maklumat.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi tadi, kru bot nelayan tempatan Kelas A yang berpangkalan di Kuala Sala itu menangguk siput, sebelum tekong menyedari mangsa tiada di atas bot.

"Mangsa, Mohd Ayob Jalaluddin, 39, dipercayai terjatuh ke dalam laut selepas bot mereka dipukul ombak kuat, sewaktu dalam perjalanan balik ke pangkalan.

"Usaha mengesan mangsa turut disertai agensi lain yang terdiri daripada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam serta beberapa bot nelayan," katanya di sini hari ini.

Noor Azreyanti berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan pada jam 7 petang tadi dan akan disambung semula esok.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui di lokasi pencarian.

"Sehubungan itu, Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut supaya mengambil langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

"Orang awam boleh melaporkan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Berita Harian X