Selasa, 8 Februari 2022 | 7:20pm
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di KM215.1 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi tadi. NSTP/Ihsan PDRM
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di KM215.1 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi tadi. NSTP/Ihsan PDRM

Seorang maut, dua cedera kereta dirempuh lori

ALOR GAJAH: Seorang pekerja syarikat jualan dalam talian yang dalam perjalanan bersama keluarga ke kampung isterinya di Batu Pahat, Johor maut selepas kereta dipandunya terbabas dan dirempuh lori kurier di KM215.1 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa, Nor Azli Abdul Fattah meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala manakala abangnya yang duduk di kerusi penumpang hadapan juga parah pada kepala dan kini dirawat di zon merah, Hospital Seremban.

Isteri mangsa, Isma Zaria Alhamlima, 25, cedera pada bahu manakala anak lelaki mereka berusia dua tahun serta pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 54 dan 49 tahun, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata terdahulu, Balai Polis Trafik Alor Gajah menerima panggilan daripada orang awam pada jam 6.45 pagi.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian menemui kesan serpihan komponen kenderaan di lorong kecemasan dan kesan geseran bermula di lorong kecemasan sehingga ke lorong paling kanan.

"Mangsa dari arah Bandar Sunway menghala ke Batu Pahat, Johor manakala lori dari arah Sungai Petani, Kedah menghala ke Johor Bharu.

"Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri sehingga berpusing.

"Pada masa sama, lori dari lorong kiri tidak sempat membrek dan mengelak ke kanan lalu melanggar kereta mangsa yang diseret dari lorong kiri ke kanan," katanya dihubungi.

Arshad berkata, mayat pemandu kereta dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala kenderaan yang terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Katanya, mangsa turut disahkan positif COVID-19 manakala ahli keluarganya yang lain masih menunggu keputusan ujian calitan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X