Selasa, 8 Februari 2022 | 5:18pm
Mayat Phanu Tarurak, 27, warga Thailand yang ditemui lemas dalam bilik jentera dalam bot ikan bilis yang karam tiba di pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA
Mayat Phanu Tarurak, 27, warga Thailand yang ditemui lemas dalam bilik jentera dalam bot ikan bilis yang karam tiba di pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut, Langkawi. NSTP/IHSAN MARITIM MALAYSIA

Nelayan ditemui lemas dalam bot karam

LANGKAWI: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot ikan bilis yang dinaikinya bersama 16 rakan lain karam berdekatan Pulau Payar semalam, ditemui lemas hari ini.

Mayat mangsa warga Thailand, Phanu Tarurak, 27, ditemui empat penyelam bebas di dalam bilik enjin pada jam 12.05 tengah hari.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata mangsa dipercayai terperangkap di dalam bilik jentera dan gagal menyelamatkan diri ketika bot berkenaan karam pada jam 10.40 malam.

"Sejurus ditemui, mayat mangsa terus dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia di Bukit Malut dan pengecaman dilakukan majikannya.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemilik bot menggunakan khidmat empat penyelam bebas bagi mengapungkan kembali bot berkenaan.

Mohd Zawawi berkata, berikutan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditamatkan sepenuhnya pada jam 2 petang.

Operasi SAR yang dilakukan mulai jam 8 pagi tadi, turut disertai bot Perkasa 1225 dan lima bot nelayan tempatan dengan keluasan sektor pencarian merangkumi 2.8 batu nautika.

Media sebelum ini, melaporkan seorang nelayan hilang, manakala 16 lagi terselamat selepas bot ikan bilis yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Payar dengan pihak Maritim Malaysia melancarkan operasi SAR sejurus kejadian.

Dalam kejadian itu, 16 nelayan berusia antara 27 hingga 57 tahun berjaya diselamatkan dua bot nelayan tempatan yang kebetulan berada berdekatan lokasi kejadian.

Berita Harian X