Selasa, 8 Februari 2022 | 3:56pm
Wang rasuah dikatakan sebagai balasan bagi kedua-dua tertuduh mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan kerana memiliki rokok tidak bercukai. - Foto hiasan
Wang rasuah dikatakan sebagai balasan bagi kedua-dua tertuduh mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan kerana memiliki rokok tidak bercukai. - Foto hiasan

Peniaga kedai runcit didakwa rasuah polis

KOTA KINABALU: Dua peniaga kedai runcit mengaku bersalah memberi suapan RM7,000 kepada seorang pegawai polis, dalam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini.

Tertuduh pertama, Zia Ullah Mir Akbar Khan, 31 dan tertuduh kedua, Farman Ali Muhammad, 37, dijatuhi hukuman didenda masing-masing RM10,000 oleh Hakim Abu Bakar Manat.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun yang sama, kerana memberi suapan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki rokok tidak bercukai di Penampang pada 2020.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-mereka didakwa dengan niat bersama memberi suapan sebanyak RM7,000 kepada Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Superintendan Parum Niot, yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Perbuatan kedua-dua peniaga itu dilaporkan berlaku di antara jam 3 hingga 5 petang pada 20 April 2020.

Wang RM7,000 itu dikatakan sebagai balasan bagi kedua-dua tertuduh mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok tidak bercukai.

Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM20,000 atau penjara sebulan, jika gagal membayarnya.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari firma guaman, Ansari & Co.

Berita Harian X