Selasa, 8 Februari 2022 | 12:45pm

Polis tahan pasangan suami isteri dan rakan dalang edar ganja

GEORGETOWN: Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah membabitkan pasangan suami isteri dan rakan mereka dalam tiga serbuan di sekitar Air Itam di sini, pada Ahad lalu.

Menerusi serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu, polis merampas lebih 22 kilogram (kg) dadah jenis ganja dan Methamphetamin 61.5 gram bernilai RM61,847.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong , berkata serbuan pertama di sebuah rumah flet di Air Itam, pada jam 9 malam, membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 38 tahun.

Bertindak atas maklumat daripada suspek bekerja sebagai pencuci kereta serta penganggur itu, polis kemudian memeriksa sebuah kereta jenis Proton Waja di parkir flet berkenaan.

"Pemeriksaan menemukan puluhan ketulan mampat ganja disembunyi di but kereta berkenaan.

"Susulan itu, polis menyerbu sebuah lagi unit kediaman di flet sama dan menahan seorang wanita berusia 40 tahun, iaitu isteri kepada penganggur terbabit," katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Soffian berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif mengedar ganja di sekitar kawasan Paya Terubong dan Air Itam.

Katanya, ujian air kencing kedua-dua suspek lelaki itu didapati positif Methamphetamin, manakala wanita yang bekerja sebagai jurujual itu bebas daripada pengaruh dadah.

"Semakan mendapati pencuci kereta itu mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan dadah, manakala rakannya pula mempunyai empat rekod kesalahan sama.

"Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 23 ketulan mampat ganja, dua botol kaca dan tujuh paket lut sinar berisi ganja, pemetik api, penimbang digital dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi kegiatan itu," katanya.

Selain itu, polis turut menyita dua motosikal dan kereta digunakan sindiket dengan jumlah keseluruhan termasuk dadah dianggarkan bernilai RM151,047.

Menurut Soffian, polis kini sedang mengesan abang kepada pasangan suami isteri itu bagi membantu siasatan.

"Siasatan mendapati rumah pertama yang diserbu itu disewa abang kepada pasangan suami isteri berkenaan, manakala kediaman kedua adalah rumah pusaka peninggalan bapa mereka.

"Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong menunjukkan botol kaca, ganja dan Methamphetamine yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, Georgetown. - Foto NSTP/Mikail Ong
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong menunjukkan botol kaca, ganja dan Methamphetamine yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Timur Laut, Georgetown. - Foto NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X