Isnin, 7 Februari 2022 | 9:55pm

Wanita terselamat daripada dihempap tembok runtuh

bhnews@bh.com.my

SEREMBAN: Seorang wanita cemas selepas kereta yang dipandu secara tiba-tiba dihempap tembok sebuah rumah yang runtuh ketika melalui Jalan Limbok, di sini, petang tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, tembok setinggi kira-kira tiga meter berkenaan sedang dalam pembinaan.

Sepupu mangsa, Lucy Ratnam, 60, berkata ketika kejadian, sepupunya baru keluar dari rumah dengan memandu kereta Perodua Myvi sebelum dia terdengar bunyi kuat dari lokasi kejadian.

"Saya sedang meletakkan kereta dan terdengar bunyi seperti kereta dirempuh. Saya sangkakan sepupu yang berusia 50 tahun kena langgar sebelum saya mendapat panggilan daripadanya mengatakan kereta dihempap tembok runtuh.

"Saya kemudian terus ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan dia dan ketika tiba saya dapati sepupu sudah keluar dari kereta dan keadaannya selamat," katanya ketika ditemui di lokasi, petang tadi.

Lucy berkata, berdasarkan cerita sepupunya, ketika kejadian terdapat individu yang bertanggungjawab menjaga lalu lintas.

"Ketika kejadian, sepupu ditahan sementara kerja dilakukan sebelum mendapati tembok berkenaan retak dan dia sempat keluar untuk menyelamatkan diri, namun tidak sempat mengalihkan kenderaan sebelum tembok berkenaan runtuh dan menghempap kereta dinaiki.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat memantau kerja pembinaan tembok rumah berkenaan kerana khuatir akan membahayakan penduduk lain," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohd Nazri Azis berkata, pihaknya mendapat panggilan jam 5.29 petang dan tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Setiba di lokasi, kami mendapati tembok sebuah rumah runtuh. Runtuhan berkenaan menyebabkan sebuah kereta dihempap serpihan tembok namun mangsa tidak cedera.

"Berdasarkan maklumat kemungkinan konkrit tembok rumah berkenaan tidak kuat dan menyebabkan ia runtuh, lebih-lebih lagi ketika cuaca hujan petang tadi," katanya ketika dihubungi.

Kerja-kerja pembersihan jalan giat dijalankan selepas tembok sebuah rumah runtuh di Jalan Limbok. STR/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Kerja-kerja pembersihan jalan giat dijalankan selepas tembok sebuah rumah runtuh di Jalan Limbok. STR/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Berita Harian X