Isnin, 7 Februari 2022 | 2:34pm

Punca kematian lelaki diikat kaki, tangan belum diketahui

SEREMBAN: Punca kematian dan motif kejadian mayat seorang lelaki yang ditemui dalam keadaan tangan serta kaki berikat di sebuah rumah di Jalan Cenanga Baru, Kampung Repah, Tampin bulan lalu, masih lagi misteri.

Ini berikutan laporan hasil bedah siasat terhadap mayat lelaki berusia 26 tahun yang dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban itu belum dapat kenal pasti punca kematiannya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya masih menunggu laporan kimia dan patologi bagi merungkai punca kematian lelaki itu.

"Berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan sebelum ini, punca kematian belum dapat dikenalpasti dan polis masih menunggu laporan kimia serta patalogi.

"Kami menyiasat daripada semua sudut termasuklah sama ada kematian mangsa disebabkan racun atau dadah.

"Mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi kita akan dapat maklumat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan, bagaimanapun polis sudah mengambil keterangan ahli keluarga dan jiran mangsa bagi membantu siasatan.

Media pada 27 Januari lalu melaporkan seorang wanita menemui mayat suaminya dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta dibalut dengan kain dan dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Jalan Cenaga Baru.

Difahamkan, mayat berkenaan ditemukan pada jam 2.30 petang ketika isteri mangsa ke rumah sewa mereka untuk melihat keadaan lelaki itu selepas tidak menjawab mesej.

Berita Harian X