Isnin, 7 Februari 2022 | 2:32pm
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan. - Foto NSTP
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan. - Foto NSTP

10,559 saman bernilai RM2.6 juta

SEREMBAN: Sebanyak 10,559 saman dengan nilai RM2.6 juta dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan sepanjang 10 hari Op Selamat 17 dilaksanakan di negeri ini bermula 28 Januari lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,618 saman dikeluarkan bagi enam kesalahan utama.

"Antara kesalahan dilakukan ialah memandu melebihi had laju yang mencatat jumlah saman paling tinggi iaitu 6,032 saman diikuti tidak patuh lampu isyarat (284), menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu (118), memotong barisan (133), memotong di garisan berkembar (50) dan memandu di lorong kecemasan (1).

"Secara keseluruhannya jumlah saman dikeluarkan adalah sebanyak 10,559. Nilai saman berjumlah RM2.6 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat 17 menunjukkan penurunan sebanyak 251 kes berbanding 815 kes pada Ops Selamat 16 pada 2020, manakala kemalangan maut juga menurun daripada sembilan kes kepada satu kes.

"Mengekori rapat kenderaan menjadi faktor tertinggi punca kemalangan iaitu sebanyak 151 kes, diikuti tidak perasaan kenderaan lain (95), cuai keluar dan masuk simpang (77), terbabas (60) serta kesalahan lain," katanya.

Mohamad berkata, sebanyak 156 tangkapan dilakukan sepanjang Ops Selamat 17 menerusi 151 operasi membabitkan pelbagai kesalahan, termasuk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, Op Selamat 17 juga membabitkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang membuat rondaan di kawasan perumahan sempena cuti Tahun Bahuru Cina.

"Bagi jenayah pecah rumah, sebanyak lima kes direkodkan sepanjang Op Selamat 17 berbanding 17 kes pada Op Selamat 16," katanya.

Berita Harian X