Sabtu, 5 Februari 2022 | 9:16pm
 Sebahagian daripada pil kuda dan syabu yang dirampas anggota polis daripada dua buruh ketika diserbu awal pagi tadi. - Foto ihsan polis
Sebahagian daripada pil kuda dan syabu yang dirampas anggota polis daripada dua buruh ketika diserbu awal pagi tadi. - Foto ihsan polis

Polis tahan 2 buruh, rampas dadah bernilai RM38,975

PASIR MAS: Polis menahan dua buruh dan merampas 575 biji pil kuda dan 309.06 gram syabu bernilai RM38,975 dalam serbuan di sebuah kedai makan di Kampung Repek di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata ketika intipan dilakukan pada jam 1.20 pagi itu, dua suspek berusia 36 dan 39 tahun berada di bahagian dapur kedai dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua suspek melarikan diri, namun berjaya ditahan anggota bertugas selepas berlaku pergelutan.

"Hasil pemeriksaan pada beg disyaki milik kedua-dua suspek menemui 190 biji pil kuda pada suspek pertama, manakala 385 biji pil kuda serta 3.06 gram syabu pada beg suspek kedua.

"Beberapa jam selepas serbuan itu, berpandukan arah oleh suspek kedua, polis meneruskan serbuan ke sebuah rumah di Kampung Bunut Sarang Burung, Wakaf Bharu, Tumpat, yang menemukan lebihan 306 gram syabu.

"Semua dadah dirampas dan kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39A(1)danSeksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mohd Nasaruddin berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Methamphetamine dan semakan juga menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Suspek pertama dan kedua mengaku dadah ditemui adalah milik mereka yang diperoleh daripada seorang lelaki digelar 'Along' berasal dari Kampung Wakaf Bharu, Tumpat," katanya.

Berita Harian X