Sabtu, 5 Februari 2022 | 6:55pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Punca kematian wanita ditemui terapung dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat ke atas mayat wanita yang ditemui terapung di kawasan takungan air di sebelah jalan masuk ke Muzium Diraja, Jalan Istana, di sini pada Rabu lalu, mendapati kematian disebabkan lemas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata polis menerima laporan mengenai penemuan mayat itu pada jam 9.46 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Brickfields dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa berusia lingkungan 60-an.

"Mangsa memakai baju T berkolar bulat warna merah dan seluar biru. Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, sebuah beg kain bewarna kuning yang mengandungi sehelai baju bewarna merah dan sebingkai cermin mata dijumpai.

"Mayat kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM). Hasil bedah siasat yang diperoleh Khamis lalu mendapati tubuh mangsa tiada kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah dan punca kematian adalah lemas," katanya.

Katanya, waris mangsa sudah berhubung dengan polis hari ini sebelum pengecaman mayat dilakukan di Bahagian Forensik PPUM.

Berita Harian X