Sabtu, 5 Februari 2022 | 2:28pm
Dua pusat hiburan di Bukit Jalil dan Jalan Pudu, di ibu negara digempur selepas dikesan menyediakan kegiatan hiburan, aktiviti yang belum dibenarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Foto POLIS KL
Dua pusat hiburan di Bukit Jalil dan Jalan Pudu, di ibu negara digempur selepas dikesan menyediakan kegiatan hiburan, aktiviti yang belum dibenarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Foto POLIS KL

Dua pusat hiburan di KL kena gempur

KUALA LUMPUR: Dua pusat hiburan di Bukit Jalil dan Jalan Pudu, di sini, digempur selepas dikesan menyediakan kegiatan hiburan, aktiviti yang masih belum dibenarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob, berkata dalam operasi lewat malam tadi, seramai 75 pengunjung di dua pusat hiburan itu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 PPN.

"Polis mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada setiap pengunjung. Turut dikompaun adalah kedua-dua pemilik premis kerana melanggar Peraturan 17, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) PPN 4, 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) yang masih dikuatkuasakan ketika ini.

"Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan dalam serbuan itu adalah sebanyak RM77,000," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata, sejak 1 Januari lalu, JPJKK Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 238 kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM238,000 ke atas individu yang gagal mematuhi SOP COVID-19.

"Semua kompaun dikeluarkan mengikut Akta 342 APPPB yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.Operasi seperti ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha membantu kerajaan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 demi kesejahteraan masyarakat bersama," katanya.

Berita Harian X