Sabtu, 5 Februari 2022 | 11:11am
Foto hiasan
Foto hiasan

Pakaian jenama tiruan bernilai RM55,120 dirampas

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Pulau Pinang merampas 4,012 helai pelbagai pakaian berjenama terkenal tiruan bernilai RM55,120 dalam serbuan di sebuah premis di Bandar Perai Jaya, di sini, semalam.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata serbuan dibuat hasil aduan daripada syarikat jenama terkenal berkenaan dan pemeriksaan di premis perniagaan itu pada 11.30 pagi mendapati premis itu dijadikan stor menyimpan semua pakaian.

"Pemeriksaan itu dijalankan selepas pihak kami menjalankan risikan sejak seminggu lepas dan semasa serbuan dijalankan terdapat dua lelaki warga asing berusia 30-an berada di premis itu dengan pelbagai pakaian yang menggunakan cap dagangan berdaftar yang disyaki palsu.

"Dalam serbuan itu kami merampas 4,012 helai kemeja-T dan seluar trek pelbagai jenama tiruan. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pemilik premis dan pakaian tersebut untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka menjual pakaian berkenaan di sekitar negeri ini secara dalam talian dan borong dengan penjual dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan hasil kegiatan itu. – BERNAMA

Berita Harian X