Jumaat, 4 Februari 2022 | 12:40pm

Maritim Malaysia temui 30kg ganja dibuang sindiket ke laut

KANGAR: Tindakan dua lelaki mencampakkan satu bungkusan plastik ke laut di perairan Kuala Perlis di sini ketika dikejar anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis, membawa kepada penemuan 30 kilogram (kg) ketulan mampat ganja bernilai RM150,000 semalam.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.42 pagi pada kedudukan 2.26 batu nautika barat laut muara Kuala Perlis di sini, apabila bot peronda APMM mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dipercayai datang dari arah perairan Thailand, bergerak di sekitar perairan negara di Kuala Perlis.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Mohd Zawawi Abdullah, berkata menyedari situasi itu, sebuah aset bersama pasukan Zon Maritim Kuala Perlis diatur gerak bagi memintas dan menyerbu bot yang dikemudi dua lelaki dipercayai warga tempatan.

"Sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia yang mengarahkan suspek memberhentikan bot untuk pemeriksaan, suspek bertindak mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna hitam ke laut sebelum memecut laju meninggalkan perairan Kuala Perlis.

"Anggota kita cuba mengejar suspek sejauh tiga kilometer, namun keadaan perairan sempadan Malaysia-Thailand yang hanya dipisahkan sekitar dua kilometer dari perairan Kuala Perlis menyebabkan kedua-dua suspek itu berjaya meloloskan diri bersama bot mereka ke perairan Thailand," katanya kepada pemberita di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, di sini hari ini.

Bungkusan plastik hitam yang dipercayai mengandungi ganja selepas dicampakkan oleh anggota sindiket pengedaran dadah di perairan Kuala Perlis. - NSTP/Aizat Sharif
Bungkusan plastik hitam yang dipercayai mengandungi ganja selepas dicampakkan oleh anggota sindiket pengedaran dadah di perairan Kuala Perlis. - NSTP/Aizat Sharif

Mohd Zawawi berkata, pemeriksaan ke atas bungkusan plastik hitam itu kemudian menemui satu lagi bungkusan guni plastik berwarna merah di dalamnya yang mengandungi 30 ketulan mampat dadah jenis ganja yang dianggarkan seberat 30 kilogram.

"Bekalan ganja ini dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu dan ia diikat dalam bentuk segi empat serta dibalut kemas dengan plastik putih dan ia dipercayai cuba diseludup ke negara ini melalui jalan laut di mana sindiket yang menggunakan 'transporter' untuk membawa masuk ganja berkenaan.

"Malah, kita tidak menolak kemungkinan bahawa ganja itu diseludup menerusi proses 'barter trade' atau pertukaran secara 'barter' dengan daun ketum yang dibawa dari negara ini ke negara Thailand.

"Proses berkenaan akan dilakukan di sekitar sempadan laut Malaysia-Thailand," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan ganja berkenaan dipercayai adalah untuk pasaran di negeri bahagian Utara negara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Kita juga mengesyaki bahawa suspek mungkin membawa lebih banyak lagi sebenarnya bekalan ganja itu berdasarkan keadaan bot fiber itu yang boleh memuatkan muatan sehingga 300 sehingga 500 kg ganja.

"Siasatan mendapati modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah mereka akan bergerak menggunakan bot fiber dengan enjin bergalah berkuasa tinggi atau dipanggil 'enjin ekor biawak' oleh masyarakat setempat bagi memudahkan mereka memasuki kawasan cetek dan melarikan diri sekiranya dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Segala rampasan dibawa ke pejabat Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Zawawi (tengah) bersama Pengarah Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis, Komander Mohd Hashim Mat Zain (kanan) dan Penolong Pengarah Kanan Unit C3I, Seksyen Operasi, Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Kedah dan Perlis, Leftenan Komander Naziruddin Noor Azizuddin menunjukkan ketulan ganja yang dirampas oleh APMM Zon Maritim Kuala Perlis dalam operasi di perairan Kuala Perlis pagi semalam. - NSTP/Aizat Sharif
Mohd Zawawi (tengah) bersama Pengarah Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis, Komander Mohd Hashim Mat Zain (kanan) dan Penolong Pengarah Kanan Unit C3I, Seksyen Operasi, Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Kedah dan Perlis, Leftenan Komander Naziruddin Noor Azizuddin menunjukkan ketulan ganja yang dirampas oleh APMM Zon Maritim Kuala Perlis dalam operasi di perairan Kuala Perlis pagi semalam. - NSTP/Aizat Sharif
Berita Harian X