Khamis, 3 Februari 2022 | 10:28am
Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam bersama pihak bomba, memeriksa saluran paip gas ammonia yang mengalami kebocoran di sebuah kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, semalam. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam bersama pihak bomba, memeriksa saluran paip gas ammonia yang mengalami kebocoran di sebuah kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, semalam. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Semua sudah selamat

TANJONG KARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan keadaan sebuah kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, di sini, yang mengalami kebocoran gas ammonia, petang semalam, sudah selamat.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata operasi tamat pada 12.30 tengah malam tadi.

"Operasi ditamatkan setelah bacaan kepekatan ammonia berada dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada ayam ternakan yang dilupuskan kerana kilang memproses ayam tidak terbabit dalam kejadian itu.

"Di lokasi ada dua bangunan. Kejadian berlaku di bangunan yang memproses nugget dan sosej," katanya.

Semalam, media melaporkan lebih 450 pekerja diarah mengosongkan premis apabila sebuah kilang memproses ayam mengalami kebocoran gas ammonia pada salah satu saluran paip gas.

Seramai 463 pekerja kilang terdiri daripada 290 lelaki dan 173 wanita yang berada di tempat kejadian ketika kebocoran berlaku kira-kira 1.10 petang semalam bagaimanapun dilaporkan terselamat daripada terhidu gas berkenaan.

Difahamkan, kejadian disedari pekerja yang melihat kebocoran pada salah satu saluran paip di kilang itu.

Berita Harian X