Rabu, 2 Februari 2022 | 1:31pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dua dipercayai pengedar dadah antara sembilan ditahan

MANJUNG: Sembilan individu termasuk dua dipercayai pengedar dadah ditahan polis dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di sini, semalam.

Operasi sempena Tahun Baharu Cina itu dilakukan pada jam 9 malam hingga 3 pagi membabitkan 15 pegawai dan 68 anggota di beberapa lokasi di sekitar Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata empat individu termasuk seorang wanita berusia 35 hingga 45 tahun ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1952 ketika berjudi.

"Kita merampas 52 daun terup, sebuah meja, empat kerusi dan wang tunai RM350 dalam serbuan di sebuah rumah di Ayer Tawar itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 40-an mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 masing-masing di Sitiawan dan Beruas.

Katanya, lelaki pertama ditahan jam 12.50 tengah malam dan pemeriksaan lanjut menemui 10 peket plastik disyaki methamphetamine anggaran berat 53.28 gram (g) dan sepeket kanabis seberat 0.24g dalam beg silang milik suspek.

"Suspek kedua ditahan pada 1.45 pagi di Beruas dan sebelum itu dia yang memandu Perodua Kancil cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Pemeriksaan pada beg suspek menemui lapan peket plastik lutsinar disyaki heroin dianggarkan seberat 64.50g, empat peket plastik lutsinar disyaki methamphetamine seberat 76.17g

"Turut ditemui sepeket plastik lutsinar disyaki kannabis anggaran berat 1.51g dan enam foil yang berisi 58 pil erimin seberat 16.25g," katanya.

Katanya, ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan mereka juga mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 6, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

"Selain itu, turut ditahan masing-masing seorang lelaki dan wanita mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 12 (3) akta sama, manakala seorang lagi lelaki ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 di pusat hiburan di Sitiawan," katanya.

Berita Harian X