Selasa, 1 Februari 2022 | 9:07pm
Antara PATI dari Myanmar yang ditahan dalam pemeriksaan polis di Kampung Batu Karang yang cuba diseludup dengan lori - Foto NSTP/PDRM
Antara PATI dari Myanmar yang ditahan dalam pemeriksaan polis di Kampung Batu Karang yang cuba diseludup dengan lori - Foto NSTP/PDRM

2 tekong darat ditahan bawa PATI dalam lori

PASIR MAS: Tindakan dua lelaki dipercayai tekong membawa 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menggunakan lori terbongkar apabila kegiatan mereka dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Kampung Batu Karang, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Mat Shukor Yusof, berkata dalam kejadian jam 6 petang itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

"Tiada sebarang barangan yang salah ditemui pada badan mereka, namun hasil pemeriksaan bahagian belakang lori menemukan kesemua PATI berkenaan.

"Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah selain tidak mempunyai pasport untuk memasuki negara ini. Kumpulan PATI ini dipercayai datang untuk bekerja di lokasi yang masih dalam siasatan.

"Dua suspek tekong dan kesemua PATI ditahan manakala lori dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tujuan laporan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Berita Harian X