Selasa, 1 Februari 2022 | 4:57pm
TANGKAP layar rakaman menunjukkan detik-detik penunggang dan pembonceng motosikal sebelum dilanggar lori kurier di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Alor Gajah, malam tadi. - FOTO TULAR
TANGKAP layar rakaman menunjukkan detik-detik penunggang dan pembonceng motosikal sebelum dilanggar lori kurier di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Alor Gajah, malam tadi. - FOTO TULAR

Dipercayai langgar lampu isyarat merah, wanita koma dirempuh lori

ALOR GAJAH: Dua beradik perempuan parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kurier di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 8.40 malam itu, Anis Athirah Nor Azlan, 28, dan adiknya, Nur Aima Natasya, 19, beralamat di Kampung Anak Ikan Dalam Jabi, Jerteh, Terengganu, parah pada beberapa anggota badan.

Difahamkan, Anis Athirah yang menunggang motosikal Honda Wave dan dibonceng adiknya, dalam perjalanan dari Ampang, Selangor untuk bertemu tunangnya di sebuah kem tentera di Sungai Udang. Rakaman video nahas berkenaan turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata dua beradik perempuan itu masih koma dan dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.

Katanya, siasatan awal mendapati dua beradik itu dari arah Plaza Tol Simpang Ampat menghala Alor Gajah sebelum membelok ke kanan lampu isyarat, namun pada masa sama datang sebuah lori dari arah bertentangan yang meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat hijau dan berlaku pelanggaran di tengah-tengah persimpangan.

"Akibatnya kedua-dua mangsa perempuan parah di beberapa anggota badan dan dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Pemandu dan kelindan lori, kedua-duanya berusia 28 tahun tidak cedera, diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Arshad berkata, kenderaan terbabit nahas itu turut ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X