Selasa, 1 Februari 2022 | 12:47pm
POLIS memeriksa kenderaan dalam Op Ambang Tahun Baharu Cina di sekitar Seremban dan Jempol, bermula malam tadi hingga awal pagi ini. - Foto POLIS.
POLIS memeriksa kenderaan dalam Op Ambang Tahun Baharu Cina di sekitar Seremban dan Jempol, bermula malam tadi hingga awal pagi ini. - Foto POLIS.

Polis tahan 2 pemandu 'lalok'

SEREMBAN: Polis menahan dua individu kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan seorang lagi di bawah pengaruh alkohol dalam Op Ambang Tahun Baharu Cina di sekitar daerah ini dan Jempol, yang berakhir jam 4 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Shafiei Muhammad, mereka yang ditahan berusia 24 hingga 30 tahun dengan seorang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Dua lagi melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, iaitu memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan. Seorang daripada mereka dikesan mempunyai rekod jenayah pada 2016.

"Hasil operasi ini, 449 kenderaan pelbagai jenis dan 497 individu telah diperiksa sebelum 309 saman POL 257 dan 77 notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 45A(1) APJ 1987 memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta boleh hilang kelayakan lesen memandu selama tidak kurang dua tahun.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 serta diletakkan di bawah pengawasan polis antara dua hingga tiga tahun.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan Balai Polis Jalan Campbell di sini untuk tindakan lanjut.

Shafiei berkata, operasi itu membabitkan 62 pegawai dan anggota dari polis, 31 pegawai dan anggota JPJ Negeri Sembilan serta tujuh anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan selain tiga Sukarelawan Polis.

Berita Harian X