PASIR MAS: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) menahan dua tekong darat warga tempatan bersama 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang disembunyikan dalam sebuah lori di Kampung Batu Karang di sini, Ahad lalu.
Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Mat Shukor Yusof, berkata semua PATI iaitu dua perempuan dan 14 lelaki berusia antara 20 hingga 30-an itu ditahan pada jam 6 petang.
"Kes mula dikesan selepas sepasukan anggota PGA8 melakukan pemerhatian ke atas sebuah lori yang mencurigakan di Kampung Batu Karang di sini yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama kelindannya.
"Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori bertutup itu mendapati ada 16 PATI Myanmar terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mat Shukor berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan dipercayai bertindak sebagai tekong darat dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan haram dan disyaki terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia.
Katanya, kedua-dua suspek dipercayai menerima upah dengan bayaran tertentu dan bertindak sebagai 'penghantar' dengan menggunakan lori bertutup bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Kumpulan warga asing ini kemungkinan memasuki negara ini melalui pangkalan haram dan bersembunyi di mana-mana kawasan terlebih dulu sebelum dibawa menaiki lori berkenaan.
"Semua yang ditahan termasuk sebuah lori diserahkan kepada Ibu Pejabat Daerah Polis Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.– BERNAMA