Isnin, 31 Januari 2022 | 6:57pm
Pendekatan praktikal yang sepatutnya diambil oleh Mahkamah Tinggi ialah membenarkan peguam lain mengambil alih tanggungjawab Charan Singh ketika beliau dipanggil sebagai saksi. - Foto hiasan
Pendekatan praktikal yang sepatutnya diambil oleh Mahkamah Tinggi ialah membenarkan peguam lain mengambil alih tanggungjawab Charan Singh ketika beliau dipanggil sebagai saksi. - Foto hiasan

Tertuduh anggota Viki Naidu boleh diwakili Charan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan lima lelaki yang berdepan pertuduhan menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai 'Viki Naidu' boleh diwakili peguam pilihan mereka.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu selepas sebulat suara membenarkan rayuan V Vigneswaran Naidu, D Ganesan, P Velmurugan, D Enthiran dan K Ganesen untuk mengembalikan Charan Singh sebagai peguam mereka.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Ipoh menggugurkan Charan Singh daripada menjadi peguam kelima-lima tertuduh atas alasan beliau berpotensi menjadi saksi dalam kes itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo, berkata Charan Singh akan berdepan konflik kepentingan dan melanggar Kaedah 28 Kaedah-Kaedah Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978, iaitu seorang peguam tidak boleh tampil dalam kes yang menyaksikan beliau menjadi saksi.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi, Charan Singh mencabar keterangan pegawai penyiasat kes, beliau menahan Ganesan di sebuah restoran, namun dipertikai oleh peguam itu yang mendakwa tertuduh ditahan oleh anggota polis lain kerana ketika itu, Charan Singh dan rakannya turut berada di lokasi kejadian.

Semua tertuduh didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang itu di daerah Kinta, Perak di antara tahun 2014 dan 27 Mac 2020 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakiman hari ini, Vazeer berkata, hak untuk mendapatkan peguam hak asasi walaupun tidak mutlak dan ia tertakluk kepada kesanggupan seseorang peguam itu hadir, bagi pihak anak guamnya.

Beliau berkata, kemungkinan Charan Singh dipanggil sebagai saksi tidak boleh menghalang peguam itu daripada mewakili tertuduh.

Katanya, berdasarkan nota prosiding dan penghakiman Mahkamah Tinggi, pendakwaan tidak berhasrat memanggil Charan Singh sebagai saksi, justeru keputusan menggugurkan beliau daripada mewakili kelima-lima tertuduh adalah pramatang.

Hakim itu berkata, pendekatan praktikal yang sepatutnya diambil oleh Mahkamah Tinggi ialah membenarkan peguam lain mengambil alih tanggungjawab Charan Singh ketika beliau dipanggil sebagai saksi.

Vazeer, yang bersidang bersama-sama Datuk Supang Lian dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin, mengetepi keputusan Mahkamah Tinggi dan mengembalikan kes itu membolehkan perbicaraan diteruskan.

Charan Singh yang hadir pada prosiding hari ini memaklumkan media, perbicaraan kes itu akan bersambung pada 25 April depan

Terdahulu, mahkamah mendengar hujahan peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir yang mewakili kelima-lima tertuduh serta Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bagi pihak pendakwaan.

Hisyam berhujah, semua tertuduh berhak mendapat perbicaraan yang adil dan melantik peguam pilihan mereka seperti yang dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Dusuki pula berhujah semua tertuduh masih boleh melantik peguam lain untuk mewakili mereka.

– BERNAMA

Berita Harian X