Isnin, 31 Januari 2022 | 1:57pm
Mohd Nadzri pada sidang media di Kuching, hari ini. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Mohd Nadzri pada sidang media di Kuching, hari ini. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Pengedar dadah guna syarikat palsu

KUCHING: Sindiket pengedaran dadah menggunakan syarikat tidak aktif dan alamat tidak wujud bagi mengelak kegiatan mereka menggunakan kurier dikesan pihak berkuasa.

Mereka turut memperalat orang awam sebagai keldai dadah bagi menuntut bungkusan yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.

Pemangku Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Sarawak), Mohd Nadzri Ariffin, berkata taktik itu dikesan dalam kes penyeludulan dadah yang ditumpaskan di Miri, 24 Januari lalu.

Beliau berkata, dalam serbuan di Permy Technology di Miri, Sarawak kira-kira jam 11.17 pagi, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan ketika cuba menuntut bungkusan yang dikirim dari luar negara.

"Pemeriksaan menemukan satu bungkus plastik lutsinar yang mengandungi serbuk berwarna putih dipercayai dadah jenis ketamin, yang dianggarkan seberat 1,000 gram.

"Turut dijumpai satu peket serbuk minuman jenama Juice Master di dalam beg sandang lelaki itu yang dipercayai dadah jenis ketamin serta dianggarkan seberat 28 gram," katanya pada sidang media, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, semua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM51,400.

Dalam kes berasingan pada jam 2.15 petang, 10 Januari lalu, katanya, jabatan itu menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an di terminal bas di Kuching.

Beliau berkata, lelaki itu cuba menuntut bungkusan yang dihantar dari Miri menggunakan perkhidmatan bas ekspres antara bandar.

"Pemeriksaan menemui 358 peket lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine dengan berat keseluruhan 1,115 gram yang dianggarkan bernilai RM47,500.

"Turut dirampas, wang tunai berjumlah RM540 dan sebuah kenderaan dianggarkan RM70,000," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Berita Harian X