Ahad, 30 Januari 2022 | 4:09pm
Foto hiasan polis
Foto hiasan polis

Tahan 4 mat rempit lumba haram, sita 43 motosikal

BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur kerana berlumba haram dan menyita 43 motosikal dalam operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di dua lokasi tumpuan mat rempit di negeri itu malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Superintendan Zafri Zolkapli, berkata operasi itu bermula jam 10 malam tadi dan tamat lima jam kemudian dijalankan di daerah Barat Daya dekat sini dan Seberang Perai Utara (SPU).

"Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya (samseng jalanan) yang kerap dilaporkan di dua daerah berkenaan. Kami menjalankan operasi bagi mencegah kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

"Dalam operasi itu, kami menahan empat lelaki berusia 15 hingga 21 tahun kerana berlumba haram dan menyita 43 motosikal kerana pelbagai kesalahan antaranya mengubah suai kenderaan serta tiada cukai jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang sudah tidak bersekolah itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala 43 motosikal disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987.

Beliau berkata 117 saman telah dikeluarkan kepada penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan trafik dan pihaknya akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa. – BERNAMA

Berita Harian X