Jumaat, 28 Januari 2022 | 9:48pm
Polis memantau tempat yang sering berlaku kemalangan maut. - Foto hiasan
Polis memantau tempat yang sering berlaku kemalangan maut. - Foto hiasan

48 kawasan kemalangan maut

IPOH: Polis mengenal pasti 48 kawasan hitam yang sering menjadi tempat kemalangan maut, terutama semasa musim perayaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata Gerik mempunyai paling banyak kawasan hitam iaitu sebanyak 15 kawasan, diikuti Manjung (lima); Ipoh, Hilir Perak dan Sungai Siput (empat); Taiping, Muallim dan Kuala Kangsar (tiga); Perak Tengah dan Tapah (dua); Batu Gajah, Pengkalan Hulu dan Selama (satu).

"Kita memang memberi fokus kepada kawasan hitam ini, bagi mengelakkan statistik kemalangan jalan raya di kawasan-kawasan berkenaan meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Op Selamat 17 dan Kempen Kesedaran Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina 2022 Kontinjen Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata 1,114 kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tahun lalu, berbanding 1,946 pada 2020, sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 832 kemalangan.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata seramai 205 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 17 yang bermula hari ini sehingga 6 Februari ini dengan bertumpu kepada penguatkuasaan yang berhemah dan tegas terhadap enam kesalahan lalu lintas utama, melancarkan pergerakan lalu lintas serta pencegahan jenayah. – BERNAMA

Berita Harian X