Jumaat, 28 Januari 2022 | 2:37pm

Bekas calon PRK PD didakwa bunuh suami

SEREMBAN: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh suaminya yang juga bekas akauntan syarikat swasta dalam kejadian di Rasah Kemayan, Seremban 2, di sini, Ahad lalu.

Tertuduh, Lau Seck Yan, 55, memahami pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Norzaliza Tesnim, namun mendakwa tidak melakukan kesalahan itu.

"Saya tidak sanggup dicaj di bawah seksyen tersebut, kebenaran bukan begitu...tidak harus dituduh di bawah akta ini," katanya yang juga bekas calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seck Yan dituduh menyebabkan kematian terhadap Poh Seng Hiap, 55, dengan menggunakan senjata tajam dalam kejadian di alamat No 10, Jalan RK 6/2 Rasah Kemayan Golf & Country Township, Seremban di sini, antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang pada 23 Januari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, berikutan prosiding kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Ng Kian Nam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 25 Februari ini bagi tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam untuk merujuk tertuduh ke hospital untuk rawatan psikiatri kerana tiada keperluan untuk berbuat demikian pada waktu ini.

Terdahulu sebaik tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9.30 pagi, tertuduh menimbulkan kekecohan apabila dia menjerit ke arah wartawan ketika diiringi anggota polis.

Wanita itu yang dalam keadaan beremosi mendakwa dia menjadi mangsa keadaan.

Dalam laporan media sebelum ini, mangsa ditemukan maut di dapur rumah mereka selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.

Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat berada di lokasi kejadian.

Lau Seck Yan (baju kelabu) di dakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh suaminya di sebuah rumah di Rasah Kepayan, Seremban 2, Ahad lalu. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Lau Seck Yan (baju kelabu) di dakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh suaminya di sebuah rumah di Rasah Kepayan, Seremban 2, Ahad lalu. - Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Berita Harian X