Khamis, 27 Januari 2022 | 10:01pm

Mayat lelaki dengan kaki, tangan terikat

TAMPIN: Sayu hati seorang isteri apabila menemui mayat suaminya dengan kaki dan tangannya terikat dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Jalan Cenaga Baru, Kampung Repah, di sini, petang tadi.

Difahamkan, mayat itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang ketika isteri mangsa ke rumah sewa suaminya untuk melihat keadaan lelaki itu selepas tidak menjawab mesej sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata pihaknya menerima panggilan menerusi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam rumah berkunci.

"Isteri bersama ibu dan anak pasangan itu ke rumah sewa mangsa kira-kira jam 2.30 petang untuk melihat keadaannya yang tidak berjaya dihubungi sejak dua hari lalu.

"Wanita itu kemudiannya melihat melalui tingkap kerana rumah berkunci, sebelum ternampak mangsa dalam keadaan perut kembung, kaki dan tangannya terikat serta berbungkus sebelum meminta jiran menghubungi bomba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah rumah sewa kampung dan mangsa ditemui di atas tilam dalam sebuah bilik dengan tangan dan kakinya terikat serta dibalut dengan kain.

"Berdasarkan maklumat daripada isteri mangsa, kali terakhir mereka berhubung jam 3 petang pada Selasa lalu. Isterinya menghantar mesej menerusi aplikasi WhatApps pada Rabu dan hari ini, namun tidak dijawab," katanya.

Anuwal berkata, hasil pemeriksaan mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam dan mayatnya sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tunku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Berita Harian X