X
Khamis, 27 Januari 2022 | 1:44pm
 Anuar mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. NSTP/ Mary Victoria Dass
Anuar mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. NSTP/ Mary Victoria Dass

Penolong akauntan mengaku salah seleweng dana RM95,205

JOHOR BAHRU: Seorang penolong akauntan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah menyeleweng dana PPK itu berjumlah RM95,205.

Mengikut pertuduhan pertama, Anuar Saat, 50, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan dana RM21,294 pada Mei 2016 hingga Disember 2016 di CIMB Bank Berhad di Kota Tinggi.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan nilai RM46,404 bagi tempoh Februari 2017 hingga Disember 2017 di CIMB Bank Berhad di Kota Tinggi, manakala pertuduhan ketiga, membabitkan dana berjumlah RM27,507 yang dilakukannya pada Januari 2018 hingga Julai 2018 di CIMB Bank di Kota Tinggi.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Anuar didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh didenda.

Anuar mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun, manakala Anuar tidak diwakili peguam.

Ahmad Kamal Arifin tidak menjatuhkan hukuman semalam, sebaliknya mencadangkan Anuar melantik peguam .

"Tertuduh boleh memohon khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman sekiranya tidak mampu melantik peguam," katanya.

Terdahulu, Suhaili mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dan tertuduh diminta menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Anuar memohon jaminan dikurangkan dengan alasan dia digantung kerja dan hanya bergantung kepada pendapatan isteri sebanyak RM50 sehari sebagai pembantu kedai, selain memiliki masalah jantung bengkak dan menanggung empat cahaya mata termasuk bayi berusia tujuh bulan.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh sebutan bagi membolehkan Anuar melantik peguam.

Sementara itu, seorang penjawat awam bertugas sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi PPK Pekan Nenas, Mohd Zulkifli Saharadin, 35, yang dihadapkan ke mahkamah sama, mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyalahguna dana RM76,000 milik PPK itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zulkifli didakwa menyalahguna dana RM32,000 antara 10 Ogos 2018 hingga 24 Disember 2018 di Maybank Pontian Kechil di Pontian.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan dana RM44,000 antara 10 Januari 2019 hingga 10 Mei 2019 di Maybank Pontian Kechil, Pontian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Pertuduhan dikendalikan Suhaili, manakala tertuduh diwakili peguam Nurelyana Narudin.

Tertuduh dibenarkan jaminan RM8,000 dengan penjamin warga tempatan dan 27 Februari ditetapkan sebagai tarikh sebutan bagi serahan dokumen.

Berita Harian X