Khamis, 27 Januari 2022 | 11:01am
Keadaan dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 98.5 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin. - Foto JBPM
Keadaan dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 98.5 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin. - Foto JBPM

Tiga maut, dua cedera kemalangan di Muadzam Shah

ROMPIN: Tiga maut manakala dua cedera selepas terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 98.5 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, di sini, awal pagi tadi.

Mereka yang terbunuh ialah Rizal Awing, 18 dari Kampung Kachong, Muadzam Shah, Rompin manakala dua lagi mangsa belum dikenal pasti.

Dua yang cedera ialah Muhammad Hafiz Muhammad Hadits, 31 dan Syed Husain Yaacob Ali, 37, masing-masing dari Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 4.26 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Proton Saga dan kenderaan aktiviti sukan (SAV) BMW X1.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila BMW X1 yang dipandu Muhammad Hafiz dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Terengganu.

"Setibanya di tempat kejadian tiba-tiba Proton Saga yang yang dipandu Rizal datang dari arah bertentangan memasuki ke laluan BMW X1 secara mengejut lalu bertembung.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan dua penumpang Proton Saga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang BMW X1 mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Saga yang gagal mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi sebaik dimaklum kejadian pada jam 4.28 pagi.

"Setibanya di lokasi kemalangan, tiga lelaki tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lelaki mengalami kecederaan ringan dan operasi tamat pada jam 5.17 pagi," katanya.

Berita Harian X