Rabu, 26 Januari 2022 | 7:30pm

Suami isteri ditahan, dadah RM2 juta dirampas

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat warga tempatan termasuk sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM2 juta dalam siri serbuan di sekitar negeri ini dalam tempoh 20 hingga 22 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak sebulan lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di Bukit Minyak di sini, pada jam 5 petang 20 Januari.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu yang juga pemilik bengkel besi, menemukan tiga bungkusan plastik warna kuning bertulis 'daguanyin', iaitu jenama teh Cina mengandungi syabu seberat 3,162 gram (g) bernilai RM113,832 sebelum membawa kepada serbuan kedua di rumah suspek, juga di Bukit Minyak.

"Dalam serbuan kedua itu, polis menahan suri rumah berusia 30 tahun isteri lelaki terbabit dan merampas 20 bungkusan syabu, juga dalam plastik jenama teh Cina seberat 20,800g bernilai RM748,800 serta ketamin seberat 1,289g bernilai RM70,895, selain 58,750 biji pil Eramin 5 bernilai RM881,250," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) melihat kenderaan mewah yang disita selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) melihat kenderaan mewah yang disita selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG

Beliau berkata, polis seterusnya menahan seorang lagi lelaki di Butterworth dan pemeriksaan dalam kereta suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu menemukan empat bungkusan ketamin seberat 3,250g bernilai RM178,750.

Mohd Shuhaily berkata, dalam serbuan keempat, polis menahan seorang lagi lelaki yang bekerja di sebuah restoran yang juga ahli sindiket pengedaran dadah terbabit di Butterworth, dengan siasatan awal mendapati kegiatan sindiket berkenaan bermula sejak awal 2021.

"Susulan empat penahanan itu, polis turut menyita lapan kenderaan mewah bernilai RM987,000, wang tunai RM303,905, barangan kemas RM9,000 dan wang dalam akaun RM12,463, manakala semua dadah yang dirampas bernilai hampir RM2 juta," katanya.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu direman hingga esok, manakala dua lelaki, masing-masing berusia 40 tahun direman hingga 30 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Mohd Suhaily berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menahan 334 individu berusia antara 15 hingga 61 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM14,208 menerusi operasi Tapis Khas yang dijalankan di seluruh Pulau Pinang dari 21 hingga 23 Januari.

"Mereka ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Dadah 1985, 84 orang kerana kesalahan mengedar dadah, 154 kerana memiliki dadah dan 96 atas kesalahan menagih dadah. Turut disita tiga kereta," katanya. - BERNAMA

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (empat dari kiri) menunjukkan syabu, ketamin dan pil Eramin 5 dirampas polis ketika sidang media, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (empat dari kiri) menunjukkan syabu, ketamin dan pil Eramin 5 dirampas polis ketika sidang media, hari ini. - NSTP/MIKAIL ONG
Berita Harian X