Rabu, 26 Januari 2022 | 1:45pm

Sarjan polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM2,500

ALOR SETAR: Seorang sarjan polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,500 pada 2019.

Tertuduh, Mohd Nazuli Mohd Nazari, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Nazuli yang ketika itu bertugas di Bahagian Detektif, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, didakwa menerima rasuah sebanyak RM2,500 daripada seorang lelaki berusia 34 tahun, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang disyaki mencuri dua telefon bimbit di kedai telefon di Pekan Baling.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia di parkir kenderaan di Unit Inspektorat, Pejabat Kesihatan Daerah Baling, jam 4.27 petang 3 Disember 2019.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa SPRM, Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam, Alif Zulkefli.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 7 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Mohd Nazuli (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,500 pada 2019. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Mohd Nazuli (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,500 pada 2019. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Berita Harian X