Selasa, 25 Januari 2022 | 1:04pm
Rumah pusaka hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, Tikam Batu, di sini malam tadi. - Foto NSTP/IZAD THAQIF HASSAN
Rumah pusaka hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, Tikam Batu, di sini malam tadi. - Foto NSTP/IZAD THAQIF HASSAN

Rumah pusaka hangus

SUNGAI PETANI: Sebuah rumah hangus, manakala dua lagi terbakar sebahagian dalam kejadian di Tikam Batu, dekat sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim, berkata tiada mangsa yang maut atau tercedera dalam kejadian kira-kira 9.40 malam di Kampung Masjid.

Katanya, 32 pegawai dan anggota membabitkan BBP Tikam Batu, Sungai Petani, Aman Jaya dan bomba sukarela membantu memadam api.

"Kebakaran turut memusnahkan dua motosikal dan sebuah kereta, manakala tiga lagi kereta terjejas kira-kira lima hingga 35 peratus.

"Operasi berjaya dikawal jam 10.02 malam dan tamat sepenuhnya jam 11.13 malam.

"Jumlah kerugian dan punca kejadian masih disiasat," katanya.

Seorang mangsa Nurul Aina Marzuki, 18, berkata ketika kejadian dia baru tiba di rumah yang dihuni sepupunya untuk makan malam bersama 11 penghuni lain termasuk enam kanak-kanak.

Katanya, ketika menjamu selera di tingkat bawah, api marak di tingkat atas rumah papan itu.

"Kami terdengar letupan kecil, namun menyangka ada benda terjatuh di lantai tetapi letupan kuat kali ketiga membuatkan sepupu saya terus meninjau dan dia tiba-tiba menjerit memberitahu ada kebakaran," katanya.

Beliau berkata, mereka menyelamatkan kanak-kanak berusia tiga hingga lapan tahun terlebih dulu dan tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan barang berharga.

Berita Harian X