Isnin, 24 Januari 2022 | 5:17pm

Dakwaan Imam Mahdi, pemilik akaun FB dikenal pasti

IPOH: Polis sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang didapati memuat naik video secara strim langsung di Facebook (FB Live) berkenaan perkumpulan ulama serta konon kemunculan Imam Mahdi di Sabah.

Tanpa mengulas secara terperinci perkembangan siasatan itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan masih berjalan biarpun video yang dimuat naik pemilik akaun itu sudah dipadam.

Katanya, video terbabit dirakam oleh suspek ketika mengunjungi sebuah premis menjual senjata tajam di Kuala Kangsar yang sekali gus menafikan ia dirakam oleh pemilik premis itu yang terletak di Dataran Lembah, Kuala Kangsar.

"Sepertimana maklum video itu sudah dipadam dan tidak lagi boleh diakses namun siasatan sedang dijalankan.

"Tuan punya (pemilik) kedai (premis) juga tidak tahu mengenai dakwaan suspek, kerana ia (dakwaan) dibuat oleh orang lain.

"Namun, kita sudah kenal pasti subjek (suspek) yang memuat naik video itu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak serta Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Kangsar menjalankan siasatan.

Tanpa menerangkan bentuk siasatan yang dijalankan, Mior Faridalathrash sebelum ini dilaporkan berkata, kesalahan seumpamanya biasanya dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Video berdurasi lapan minit 56 saat yang dimaksudkan memperlihatkan seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Kuala Kangsar, tersebar sejak Khamis lalu.

Menerusi rakaman itu, lelaki itu mendakwa kononnya bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi yang kononnya berada di Sabah.

Bagaimanapun hasil semakan setakat jam 8 malam Jumaat lalu mendapati video terbabit sudah dipadamkan.

Berita Harian X