Isnin, 24 Januari 2022 | 3:54pm

'Suami maut nahas selepas genap seminggu ibu meninggal dunia'

KOTA BHARU: "Belum habis pilu di hati kerana kematian ibu minggu lalu, sekali lagi saya diuji apabila suami tersayang pula dijemput Ilahi akibat nahas malam tadi," kata Wan Norsalasiah Wan Noh.

Wan Norsalasiah, 40, berkata dia seakan tidak percaya suaminya, Mohd Rozimi Daud, 40, maut akibat nahas dekat Bukit Abal, Pasir Puteh, dalam suasana keluarga masih diselubungi kesedihan kematian ibunya, Jabariah Mahamood, 70, yang genap seminggu hari ini.

Katanya, masih terngiang-ngiang suara arwah memintanya menunggu dia pulang sebelum keluar dari rumah mereka di Taman Tengku Ahmad Rithaudeen, Melor di sini untuk membaiki kereta.

"Suami keluar dari rumah kira-kira jam 5.30 petang semalam untuk membaiki tayar kereta saya. Berulang kali saya meminta untuk mengikut sama tetapi tidak dibenarkan, sebaliknya dia memujuk agar menunggu dia pulang sebelah malam.

"Bagaimanapun, penantian kami berakhir dengan kesedihan kerana bukan dia yang pulang sebaliknya khabar duka mengenai kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawanya disampaikan kepada kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.45 malam tadi, Mohd Rozimi yang memandu kereta jenis Proton Preve bersama rakannya, dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan, seterusnya menyebabkan pertembungan.

Sambil menyifatkan arwah adalah seorang suami dan bapa yang sangat baik serta bertanggungjawab, Wan Norsalasiah berkata, suaminya turut menjaga ibu mentua (Allahyarham Jabariah) ketika hayat kerana menganggapnya sebagai ibu sendiri.

Wan Norsalasiah berkata, kehilangan Mohd Rozaimi sangat ketara dirasai memandangkan semua enam anak mereka yang berusia antara 16 bulan sehingga 14 tahun sangat rapat dengan arwah dan kerja menguruskan cahaya mata mereka juga lebih dipikul suaminya.

"Memang rasa berat sangat dugaan ini kerana sepanjang 15 tahun hidup bersama, semua tanggungjawab digalasnya dengan baik termasuk menjaga dan menguruskan semua anak serta tidak membebankan saya dengan kerja rumah yang banyak.

"Suami juga sedang membina rumah sendiri untuk kami yang kini baharu seminggu kerja pembinaan berjalan, namun segala-galanya kini tidak kesampaian dan saya buntu bagaimana untuk meneruskan hidup tanpa dia," katanya.

Jenazah suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato' Megat Muda di sini, bersebelahan pusara arwah ibu mentuanya, pagi tadi.

Wan Norsalasiah berkata, suaminya menunjukkan sedikit kelainan ketika ingin keluar bekerja pagi semalam, apabila tidak mencium dahi dan pipinya seperti kelaziman.

Beliau berkata, anak bongsunya juga meragam seharian semalam dan kerap menangis tanpa menyedari ia adalah tanda mereka bakal menerima khabar duka.

"Selepas bersalam pagi semalam, dia tidak mencium pipi serta dahi saya seperti biasa dan saya bertanyakan adakah saya ada melakukan kesilapan atau terdapat sesuatu yang tidak kena?

"Dia hanya menjawab tidak, sebelum tersenyum dan terus mencium pipi serta dahi dan keluar bekerja. Saya reda dengan pemergiannya walau berat untuk diterima tapi demi enam cahaya mata yang ditinggalkan, saya akan terus kuat," katanya.

Anak sulung Wan Norsalasiah Wan Noh, Putri Balqis Mohd Rozimi, 14, melihat gambar arwah bapanya, Mohd Rozimi Daud, 40, yang maut dalam kemalangan di KM34 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu berhampiran Bukit Abal, Pasir Puteh, dekat sini, malam tadi. NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Anak sulung Wan Norsalasiah Wan Noh, Putri Balqis Mohd Rozimi, 14, melihat gambar arwah bapanya, Mohd Rozimi Daud, 40, yang maut dalam kemalangan di KM34 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu berhampiran Bukit Abal, Pasir Puteh, dekat sini, malam tadi. NSTP/SITI ROHANA IDRIS
Berita Harian X