Isnin, 24 Januari 2022 | 2:42pm

8 beri keterangan ceramah #TangkapAzamBaki

KUALA LUMPUR: Lapan individu yang menghadiri ceramah mendesak Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki supaya ditahan di sebuah restoran Jumaat lalu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brieckfields, hari ini.

Semua individu berkenaan tiba pada jam 2 petang bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung ceramah berkenaan.

Antara yang dilihat hadir ialah Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Thanussha Francis Xavier; Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya; Ketua Pejuang Muda, Dr Abu Hafiz Salleh Huddin dan Aktivis Adam Adli.

Selain itu, Naib Ketua Pemuda AMANAH, Zubair Rahim dan Pengarah Strategik Pemuda AMANAH, Asmaalif Abdul Adam.

Jumaat lalu, polis mengenal pasti 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, program berkenaan dianjurkan Pemuda AMANAH Nasional pada jam 9 malam.

"Dianggarkan seramai 30 hingga 40 individu selain 12 aktivis yang dikenal pasti hadir dengan motif untuk mengajak masyarakat terbabit dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar yang akan diadakan 11 pagi ini.

"Kami ingin memaklumkan bahawa perhimpunan ini tidak mendapat permit dan kebenaran daripada pihak berkuasa dan pihak penganjur gagal menghantar notis pemberitahuan mengadakan program berkenaan," katanya.

Berita Harian X