Isnin, 24 Januari 2022 | 1:57pm

Wanita disyaki tikam mati suami

SEREMBAN: Masalah kewangan dipercayai menjadi punca seorang wanita disyaki menikam suami sehingga mati di sebuah rumah di Rasah Kemayan, Seremban 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 55 tahun ditikam di bahagian dada dan pinggang dengan senjata tajam.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban menerima panggilan kecemasan daripada anak mangsa, iaitu seorang gadis berusia 18 tahun yang dipercayai saksi kejadian, memaklumkan bapanya ditikam di lokasi.

"Susulan itu, polis bergegas ke lokasi sebelum menemui mayat mangsa di ruang dapur rumah terbabit.

"Hasil pemeriksaan awal pada mayat mangsa, mendapati ada dua kesan tikaman di bahagian dada kiri dan pinggang kiri," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis kemudian menahan isteri mangsa yang berusia 55 tahun di rumah terbabit serta merampas sebilah senjata tajam dipercayai digunakan dalam insiden itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Berdasarkan hasil siasatan awal, masalah kewangan dipercayai menjadi punca kejadian itu," katanya.

Nanda berkata, suspek direman selama tujuh hari hingga 30 Januari ini, bagi membantu siasatan selepas perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Majistret Seremban, Emysuriana Muhammad Subry, hari ini.

Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Seremban dengan menaiki van, kira-kira jam 10.10 pagi.

Wanita direman bagi membantu siasatan kes kematian suaminya dipercayai akibat ditikam. - NSTP/Ahmad Hasbi
Wanita direman bagi membantu siasatan kes kematian suaminya dipercayai akibat ditikam. - NSTP/Ahmad Hasbi
Berita Harian X