Isnin, 24 Januari 2022 | 1:25pm

Polis berkas 3 termasuk suami isteri pesawah disyaki edar dadah

ALOR SETAR: Polis menahan tiga individu disyaki pengedar dadah, termasuk sepasang suami isteri yang juga pesawah, dan merampas dadah jenis syabu serta heroin dianggarkan bernilai lebih RM220,000, di sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata terdahulu dalam serbuan pertama kira-kira jam 12 tengah hari, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, memberkas seorang lelaki berusia 22 tahun di tempat parkir motosikal dalam kawasan sebuah flat.

Hasil pemeriksaan terhadap beg silang dibawa lelaki itu, beliau berkata, polis menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi lapan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 56.23 gram (g).

"Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek yang menetap di Kuala Ketil dan bekerja sebagai peniaga itu mendapati dia positif dadah jenis morfin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin.

Susulan itu, Mohd Roze berkata, polis melakukan serbuan kedua dan menahan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton dinaiki sepasang suami isteri, di tepi jalan Sungai Petani, Simpang Empat, kira-kira jam 5 petang hari sama.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai pesawah itu, polis menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 338.49g di dalam beg pinggang dibawanya.

"Isterinya yang berusia 37 tahun dan pesawah berasal dari Chepir, Sik, turut ditahan untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia positif morfin, manakala isterinya pula negatif," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Roze berkata, polis melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah di Kampung Radex, Sik, dan menemui sebuah beg galas mengandungi sembilan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5,504.59g.

Selain itu, beliau berkata, lima peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 1,596.86g turut ditemui.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam semua serbuan terbabit ialah 1,991.58g heroin dan 5,504.59g syabu dianggarkan bernilai RM224,852," katanya.

Mohd Roze berkata, polis juga menyita sebuah motosikal dianggarkan bernilai RM8,000 dan wang tunai RM835.

"Jika bekalan dadah itu terlepas ke dalam pasaran, ia boleh digunakan kira-kira 62,000 penagih. Kita percaya dadah berkenaan adalah untuk pasaran di Alor Setar dan suspek disyaki bergiat aktif sejak enam bulan lalu.

"Mereka dipercayai memperoleh bekalan dadah itu dari luar negeri ini, sama ada Kelantan atau Pulau Pinang.

"Suspek kedua, iaitu lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai rekod enam kesalahan lampau berkaitan dadah, disyaki adalah dalang kegiatan itu," katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mohd Roze (tengah) menunjukkan rampasan dadah hasil serbuan dilakukan polis. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Mohd Roze (tengah) menunjukkan rampasan dadah hasil serbuan dilakukan polis. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X